Monday, May 19, 2014

Surah Ash-Sharh - Tabah menghadapi cubaan Allah, setiap kesukaran akan disertai kemudahan

Madah  Surah  Al-Insyiraah (Ash-Sharh)
بسم الله الرحمن الرحيم
أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ.  وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ.  الَّذِى أَنقَضَ
 ظَهْرَكَ.  وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ.
                                                             
Terjemahan ayat:

1.       Bukankah Kami telah melapangkan bagimu:  dadamu  (wahai Muhammad serta mengisikan dengan iman dan hidayah pertunjuk)?
2.       Dan Kami telah meringankan daripadamu:  bebanmu  (menyiarkan Islam) –
3.       Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
4.       Dan Kami telah meninggikan bagimu:  sebutan namamu  (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

Coretan  madah:

Turunnya surah di negeri Makkah
Penyejuk hati baginda Rasulullah
Dalam kepayahan menyebar dakwah
Ditentang hebat penduduk jahiliah

Kejahilan umat tidak terkata
Mereka sesat di ‘alam gulita
Perbuatan ingkar merata-rata
Didatangkan nabi membuka mata

Tugas baginda pastinya sukar
Membimbing umat ke jalan benar
Secara sembunyi Islam disebar
Khadijah pertama diikuti Abu Bakar

Wafat Khadijah membawa duka
Disusuli pamannya di tahun sama
Merantau ke Taif nasib dicuba
Perlakuan biadab pulak diterima

Kesedihan baginda datang bertimpa
Allah mengetahui duka nestapa
Isra’ Mikraj penawar lara
Istimewanya baginda tiada yang setara

Demikian Allah Maha Berkuasa
Dilapangkan dada lega terasa
Kemantapan ia bertambah perkasa
Diangkat baginda semulia manusia

Dalam syahadah namanya berganding
Kedudukan baginda sedemikian penting***
Ketinggian peribadinya tiada setanding
Gelaran Al-Amin bukannya asing

          *** Abu Na’im dalam kitabnya  “Al-Hilyah”  telah meriwayatkan sebagai berikut:   Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa bani Israil bahawa:  “Barang siapa bertemu dengan Aku  (dari umatmu)  padahal ia ingkar kepada Ahmad,  nescaya Aku masukkan dirinya ke dalam neraka”  Nabi Musa berkata:  “Siapa Ahmad itu,  wahai Tuhanku?”  Allah berfirman:  “Tiada pernah Aku ciptakan satu ciptaan yang belih mulia murut daripadanya.  Telah Aku tuliskan namanya bersama namaKu di  ‘Arasy’ sebelum Aku ciptakan tujuh lapis langit dan bumi.  Sesungguhanya syurga itu terlarang bagi semua makhlukKu,  sebelum ia dan umatnya terlebih dahulu memasukinya.  Nabi Musa a.s. berkata:  “Siapa umatnya itu?”  FirmanNya:  “Mereka yang hanya memuji Allah.  Mereka memuji Allah sambil naik, turun dan setiap keadaan.  Mereka mengikat pinggang  (menutup aurat)  dan berwuduk,  membersihkan anggota badan.  Mereka berpuasa siang hari, beramal dan berzikir sepanjang malam.  Aku terima yang dikerjakan dengan ikhlas,  meskipun sedikit.  Akan Aku masukkan mereka ke dalam syurga kerana keatas saksiannya:  “Tiada Tuhan yang sebenarnya wajib disembah selain Allah”  Nabi Musa berkata:  “Jadikan saya Nabi itu”.  Allah berfirman:  “Nabi umat itu dari kalangan mereka sendiri”.  Nabi Musa berkata lagi:  “Masukkan saya dalam golongan umat itu”.  Allah menerangkan:  “Engkau lahir mendahului  Nabi dan umat itu, dan dia lahir kemudian.  Aku berjanji kepadamu untuk mengumpulkan engkau bersamanya di Darul Jalal  (syurga)

Ayat empat ayatnya padat
Nabi Muhammad begitu hebat
“Kekasih Allah” baginda berpangkat
 Bertuahnya kita selaku umat

Tiba-tiba aku teringat
Buku karangan Michael H Hart
Tersenarai 100 manusia terhebat
Tempat pertama Muhammad dinobat

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا.  إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا.

Terjemahan ayat - 5 dan 6:

5.       Oleh itu,  maka  (tetapkanlah kepercayaanmu)  bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran di sertai kemudahan.
6.       (Sekali lagi ditegaskan)  bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran, disertai kemudahan.

Coretan  madah:

Ulangan ayat sebagai penerangan
Bagi yang ikhlas menempuh ujian
Pasti  akhirnya dengan kemudahan
Usah merungut tetapkan iman

Jauh ku renung ayat di atas
Kebenarannya telah nampak jelas
Keperitan berdakwah akhirnya berbalas
Peradaban jahilliah tunduk tewas

Syiar Islam luas tersebar
Seluruh Arab dan  Negara luar
Pejuang Islam semangat berkobar
Sehingga tumbang empayar besar

Betapa Allah Maha Pemurah
Segala yang sukar akan dipermudah
Menyakini sepenuhnya kekuasaan Allah
Mengingatkan aku ayat  286  Surah Al-Baqarah***

          *** Terjemahan ayat 286 surah Al-Baqarah:

2:286

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.  Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,  dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.  (Mereka berdoa dengan berkata):  “Wahai Tuhan kami!  Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.  Wahai Tuhan kami!  Janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang dahulu daripada kami.  Wahai Tuhan kami!  Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak terdaya memikulnya.  Dan maafkanlah kami serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.  Engkau penolong kami;  tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum kafir”.


فَإِذَا فَرَغْتَ  فَانصَبْ.  وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَب.

Terjemahan - ayat 7 dan 8:

7.       Kemudian apabila engkau telah selesai  (daripada sesuatu amal salih)  maka bersungguh-sungguhnyalah engkau berusaha  (mengerjakan amal salih yang lain)
8.       Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon  (apa yang engkau gemar dan ingini)

Coretan  madah:

Usaha gigih hajat tercapai
Perasaan sombong jangan disemai
Syukuri nikmat,  perintah ditunaikan
Kehidupan menjadi begitu damai

Jangan hanya dunia didapat
Ingatkanlah juga habuan akhirat
Dunia dikejar akhirat digenggam
Keduanya seimbang barulah ngam

“Berkerjalah seolah-olah hidup seribu tahun”
Beribadatlah seolah-olah mati di esok hari”

Aku yakini surah ini
Kesempitan itu sering terjadi
Ayat kubaca penyejuk hati
Tercapai jua impian di hajati
         
Alhamdulillah….  



Wallah hu alam

No comments:

Post a Comment