Keyakinan
yang sebenar-benarnya
بسم الله الرحمن الرحيم
Yang membezakan di
antara seseorang itu untuk terus beramal soleh melakukan apa sahaja yang di
perintahkan oleh Allah Ta’ala dan meninggal segala yang dilarang olehNya itu
adalah kekuatan makna keyakinannya di dalam hati.
Orang yang yakin dengan janji-janji
Allah dan yang yakin dengan apa yang disebutkan melalui lisannya Baginda
Rasulullah saw maka pasti dia akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan amal ubudiyahnya kepada Allah
Ta’ala sebaliknya orang yang lemah keyakinan maka di akan mudah terpedaya
dengan tipu muslihat syaitan dan hawa nafsunya.
Tidak ada satu
pemberian yang Allah berikan kepada seseorang setelah nikmat iman, keafiatan, kesihatan
dan yakin. Kita dapat memerhatikan bagi orang-orang yang bertaqwa sejak
daripada zaman Saiyidina Rasulullah saw sampai kepada detik kita sekarang.
Yang membezakan di
antara posisi dengan posisi dan juga kedudukan dengan kedudukan. Yang
membezakan kita antara orang Islam yang beragama antara satu yang lain itu
adalah keyakinannya. Bukan kerana jawatannya, bukan kedudukannya, bukan takhta
dan hartanya, bukan juga kekuatan dan keperkasaannya.
Yang walaupun dengan
kehidupan yang serba sederhana tetapi ternyata generasi kita yang terdahulu
memiliki suatu keyakinan yang kita tidak miliki sekarang ini sehingga keyakinan
yang kental, keyakinan yang mantap maka mereka melakukan,
melaksanakan apa sahaja daripada
tuntutan-tuntutan agama. Segala-galanya berpunca daripada al-yakin kepada Allah
Jalla Wa'Ala.
Dengan sembahyang
berjemaahnya, dengan zikirnya, dengan tasbihnya, dengan tilawahnya, dengan sedekahnya, dengan
pengorbanannya menuntut ilmu, dengan puasanya, dengan perjuangannya ataupun
juga dengan amalan yang lain
kesemuanya. Kalau tidak dibelakangi, dibentengi, didasari dengan keyakinan yang mantap maka
tidak ada sesiapa pun yang mampu ataupun juga tidak ada sesiapa pun yang
terpancing ataupun juga terpanggil untuk melaksanakannya.
Kita ingin membuat satu
perbandingan MashaAllah Tabarakallah keyakinan Para Sahabat Nabi saw. Mungkin
kita mengingati petistiwa Israk Mikraj kenapa ada satu perbezaan yang
sangat-sangat besar sekali di antara Saidina Abu Bakar As-Siddiq
Radhiyallahu'Anhu dengan Para Sahabat Nabi kita yang lainnya.
Nabi kita bersabda di
dalam sebuah hadis "Pernah dengan
aku diletakkan di dalam timbangan dan kemudian Ummatku kesemuanya diletakkan di
dalam timbangan yang lain. Ternyata dengan aku lebih berat daripada Ummatku
kesemuanya. Kemudian setelah itu ditimbang Saidina Abu Bakar dan juga Ummatku
kesemuanya. Ternyata timbangan Saidina Abu Bakar yang lebih berat daripada
Ummatku kesemuanya."
Apakah kira-kiranya
dengan timbangan yang berat tadi itu dengan badan yang besar? Dengan
perekonomian yang kuat? Dengan bisnes yang besar? Dengan politik yang hebat? Tidak!!!
Nabi kita bersabda "Saidina Abu
Bakar itu tidak melebihi kalian dikeranakan dengan sembahyang yang banyak
ataupun juga dengan puasa yang banyak ataupun juga dengan ibadah yang banyak.
Akan tetapi Saidina Abu
Bakar itu melebihi kalian kesemuanya itu dengan keyakinan yang kental dengan
keyakinan yang tinggi tersemai di dalam dada dan hati beliau."
Pentingnya untuk kita
sentiasa berusaha meningkatkan keyakinan kita kepada Allah swt kerana Nabi saw
bersabda "Keyakinan ialah keimanan keseluruhannya."
Kita hendak ukur "Saya ini sudah yakin ke belum? Iman saya sudah ada ataupun tidak?" Ukuran sejauh mana kita punya keyakinan dan
keimanan kita. Ini adalah salah satu tandanya.
Kalau kita ini banyak beramal dan apa yang kita
dengar daripada Al-Quran daripada Hadis yang sampai kepada kita dan
pesanan-pesanan amalan yang menjanjikan ganjaran daripada Allah itu kita dengar
dan kita buat terus.
Itu bermakna kita sudah
ada keyakinan dan juga keimanan tetapi kalau kita dengar dan kita tidak buat. Kita
tahu tapi kita tidak segera untuk buat. Itu tandanya lemahnya keyakinan dan
keimanan kita. Sebab apa? Sebab hanya orang yang yakin sahaja hendak buat. Sebab
yang namanya pahala yang namanya ganjaran itu perkara ghaib tidak nampak.
Yang ukurnya iman yang
ukurnya keyakinan dia. Kalau seseorang itu pergi pasar baca zikir dapat sejuta
pahala. Mana pahalanya tidak nampak? Tetapi kita buat kenapa? Kerana kita yakin ada pahalanya yang dijanjikan oleh Allah swt.
Begitu juga kalau kita
yang hadir ke majlis ilmu ini, yang sholat berjemaah di masjid, yang bangun di
waktu malam untuk berzikir, beristighfar untuk sholat malam dan amalan-amalan
yang lainnya. Kalau kita tidak yakin sudah pasti kita tidak akan hadir dan tidak
akan hendak buat. Jadi hendak ukur kita ini betul-betul sudah yakin sudah
beriman betul-betul mantap iman kita iaitu sejauh mana yang kita tahu di dalam
amalan-amalan yang dijanjikan ganjaran-ganjaran maka kita akan segera buat.
Sebab itu Para Sahabat
mereka itu orang-orang yang benar-benar yakin. Mereka berlumba-lumba kepada
kebaikan. Apa sahaja yang mereka dengar daripada Nabi saw maka mereka akan segera untuk buat. Saidina Umar Al-Khattab
Radhiyallahu'Anhu ketika mendengar Nabi saw mengatakan "Barangsiapa yang mengali perigi dengan
sebab itu orang ramai dapat mengambil manfaatnya maka setiap orang yang
mengambil manfaat daripadanya itu maka dia akan mendapat ganjaran."
Bahkan disebutkan di
dalam riwayat yang lain "Akan
dibinakan kepadanya satu sungai di Syurga." Maka Saidina Umar Al-Khattab
dan Para Sahabat yang lain ketika mendengar mengenai perkara ini mereka diam
dan pada malamnya itu dia pergi ke tempat yang disebutkan oleh Nabi saw untuk
digali dibuat perigi itu.
Ternyata sampai dia di
tempat itu dilihatnya perigi itu sudah pun siap. Ditanya oleh Saidina Umar
kepada orang ramai di situ siapakah yang buatnya? Maka diberitahu yang
membuatnya adalah seorang yahudi.
Keesokkannya Saidina
Umar pergi berjumpa dengan Nabi saw lalu menangis kerana dia seolah-olah sudah
kehilangan tidak dapat hendak melakukan kebaikan yang disebutkan oleh Nabi saw.
Nabi saw mengatakan "Wahai Umar. Kenapa
kamu menangis?" Lalu diceritakan "Ya
Rasulullah. Aku nak buat perigi tapi ternyata orang yahudi sudah
buat".
Maka Nabi saw
mengatakan "Niatnya seorang yang
mukmin itu lebih baik daripada amalannya orang yahudi. Maknanya kamu
mendapatkan ganjaran juga walaupun kamu tidak dapat membuatnya."
Jadi kita ini hendak
betul-betul yakin hendak dapatkan keyakinan sepertimana keyakinan Para Auliya
Allah, Para Solihin maka kita perlu ada mujahadah bersungguh-sungguh dalam
beramal kerana syaitan dan hawa nafsu ini akan menghalang kita supaya kita
jangan buat.
Jadi kita perlu ada
mujahadah kesungguhan yang mana bilamana kita sudah ada mujahadah
bersungguh-sungguh Allah jamin "Siapa yang bersungguh-sungguh demi untuk
Kami yakni Allah pada jalan Allah maka Kami akan tunjuki kepada mereka
jalan-jalan Kami."
Bukan satu jalan sahaja
tetapi bermacam-macam jalan yang ditunjukkan oleh Allah swt untuk menuju kepada
Allah swt. Ada orang yang dipermudahkan jalannya menuju kepada
Allah dengan ibadah sholatnya, dengan puasanya, dengan sedekahnya, dengan
bacaan Al-Qurannya,
dengan zikirnya, dengan dia menuntut ilmu dan
bermacam-macam cara.
Sebab itu kita ini nak
membina dan meningkatkan keyakinan kita kepada Allah swt mesti kita kena
mujahadah bersungguh-sungguh dalam beramal. Bila kita dengar sesuatu kebaikan
kita niatkan betul-betul yang kita hendak terus beramal jangan tangguh-tangguh.
Sebab apa? Sebab kalau kita tangguh-tangguh syaitan akan datang melemahkan kita
dengan tipu daya muslihatnya.
Berkata Lokman Al-Hakim
"Tidak dapat dicapai amalan kecuali
dengan keyakinan dan tidaklah beramal seseorang hamba melainkan sekadar
keyakinannya. Dan tidak akan berkurangan amalannya sehingga berkurang terlebih
dahulu keyakinannya."
Bermakna seseorang itu
akan beramal sesuai dengan setinggi mana keyakinannya. Kalau dia yakin maka
sudah pasti dia akan beramal.
Sebaliknya orang yang
merasakan amalannya berkurangan bukanlah kerana dia tidak beramal tetapi
sebenarnya keyakinannya itu yang lemah sehingga menghalang dirinya untuk
beramal. Jadi kita lihat di manakah kita berada dalam tiga
peringkat keyakinan. Adakah kita berada di peringkat pertama iaitu
1. Darjat Para Ashabul-yamin yang mempunyai
keyakinan yang teguh tetapi dalam masa yang sama ada juga kadang-kadang
tergugat sedikit sebanyak dengan sesuatu tetapi dia masih ada lagi keteguhan di
dalam keyakinannya.
2. Darjat Para Muqarrabin iaitu orang-orang
yang didekatkan oleh Allah swt. Yang ini adalah keyakinan yang mantap yang
tidak sama sekali ianya akan berkurangan tetapi kebiasaannya yang berlaku
kepada golongan darjat Para Muqarrabin ini adalah bertambahnya keyakinan dan
bertambahnya iman dengan sebab keyakinannya itu.
3. Darjat yang paling tinggi sekali adalah
darjat Para Nabi dan Para pewarisnya yang telah sempurna berupa Para Siddiqin. Yang
mana perkara yang ghaib akan menjadi syahadah
(yang terlihat) dan darjat ini
diibaratkan dengan kasyf dan iyaan (pendedahan
dan penglihatan).
Perbezaan di antara
satu darjat dengan darjat yang lain itu ada perbezaan yang jauh sekali sebab
itu setiap Para Auliya Allah itu tidak sama kedudukannya. Ada yang dimuliakan
dengan dibuka baginya untuk melihat perkara-perkara yang tidak dapat dilihat oleh
orang lain dan ada juga yang dimuliakan dengan diberikan kepadanya cahaya untuk
mengetahui apa yang berada di dalam hati seseorang.
Namun begitu semua
mereka adalah diutamakan dan setengah mereka lebih diutamakan dari setengah
yang lain. Itulah kelebihan Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang
disukaiNya dan Allah itu mempunyai kelebihan yang besar.
Mari kita muhasabah diri. Kita tingkatkan keyakinan. Kita lakukan
amal kebaikan. Kita mengimarahkan Rumah Allah.
Kita sholat berjemaah. Peringatan buat diri sendiri secara khususnya dan bersama
secara umumnya. Semoga mendatangkan manfaat.
Wallahu’alam