Monday, June 30, 2014

Al-Mulk Ayat 24-26

 Al-Mulk - Ayat 24-26

                                     بسم  الله  الرحمن  الرحيم

67:24

Terjemahan ayat 24:

24.     Katakanlah lagi:  Dialah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan di himpunkan”.

Coretan  madah:

Adam dan Hawa seawal manusia
Dari syurga diturunkan ke dunia
Sebagai khalifah amanah Tuhan
Berkembang biak zaman ke zaman

Dunia sebagai tempat tumpangan
Tempat makhluk menjalani ujian
Di alam akhirat semua dihimpunkan
Di sana berlaku pengadilan Tuhan

Setiap perbuatan mendapat balasan
Ganjaran syurga bagi yang beriman
Bagi yang kufur nerakalah balasan
Kehidupan di sana akan berkekalan


 67:25
67:26

  
Terjemahan ayat 25 dan 26:

25.     Dan mereka  (yang ingkar)  berkata:  “Bilakah datangnya  (hari kiamat)  yang dijanjikan itu,  jika betul kamu orang-orang yang benar?”
26.     Katakanlah  (wahai Muhammad):  “Sesungguhnya ilmu pengetahuan  (tentang masa kedatangannya)  hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul memberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

Coretan  madah:

Si ingkar fikir mereka hebat
Mereka persenda kedatangan kiamat
Menyoal Nabi tarikh tepat
Mereka menyangka mustahil kiamat

Tarikh kiamat rahsia Allah
Rasul hanya memperingat ummah
Tanda kiamat muncul sudah
Namun ramai tak pandang endah

bersambung..

Saturday, June 28, 2014

Al-Mulk Ayat 23

Al-Mulk Ayat 23


                                                     بسم  الله  الرحمن  الرحيم

67:23
Terjemahan - ayat 23:

23.     Katakan  (wahai Muhammad):  “Allah yang menciptakan kamu  (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati  (untuk kamu bersyukur, tetapi)  amatlah sedikit kamu bersyukur”.

Coretan madah:

Manusia lahir cukup sempurna
Dilengkapi dengan panca indera
Boleh melihat, mendengar, merasa
Diberi akal sebagai pembeza

Berbeza manusia daripada binatang
Martabatnya tinggi fikiran matang
Namun terdapat yang lebih kurang
Seperti binatang bertindak jalang

Manusia jalang di merata tempat
Mereka tidak mendengar nasihat
Punya telinga bagai tersumbat
Punya mata tidak melihat

Hati mereka seakan mati
Perintah Allah tidak ditaati
Mereka alpa di alam duniawi
Alam akhirat ditolak ketepi


 bersambung

Thursday, June 26, 2014

Al-Mulk Ayat 22

Al-Mulk Ayat 22

                                               بسم  الله  الرحمن  الرحيم


67:22
Terjemahan - ayat 22:


22.   Maka adakah orang yang berjalan  (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh)  tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan betul, melalui jalan yang lurus rata?

Coretan  madah:

Ayat ini begitu simbolik
Manusia diumpamakan berjalan terbalik
Kaki di atas muka di bawah
Hinanya mereka disisi Allah

(Cuba bayangkan muka yang cantik terpaksa ditenyeh di atas jalanan kerana fungsinya telah bertukar menjadi kaki.  Suatu perbuatan yang hina lagi memalukan bukan??)

Inilah perumpamaan manusia jahil
Hidayah Allah mereka tak terpanggil
Hidup dilingkari perkara mungkar
Tiada ternampak jalan yang benar

Orang Mukmin Allah muliakan
Dadanya penuh takwa dan iman
Nur Illahi menyinari jalan
Jalan lurus penuh keberkatan

 bersambung



Tuesday, June 24, 2014

Al-Mulk Ayat 21

A  Al Mulk Ayat 21

                                                  بسم  الله  الرحمن  الرحيم


67:21



Terjemahan - ayat 21:

21.     Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya?  (Tidak ada sesiapapun)  bahkan mereka  (yang musyrik itu)  kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri  (dari kebenaran) 

Cetusan  madah:

Ayat 15 dirujuk kembali
Allah punca segala rezeki
Ayat 21 bagai mengulangi
Penetapan rezeki di tangan Illahi

Usaha gigih mendapat habuan
Diberi nikmat berbentuk kesenangan
Mukmin atau kafir tiada pengecualian
Kerana Allah bersifat Ar-Rahman

Namun yang kafir menolak kenyataan
Kemewahan disangka usaha tangan
Mererka bertindak membelakangi Tuhan
Perintah agama tidak dihiraukan

Ujian Tuhan jadi penentu
Kemewahan hilang satu persatu
Ia gelabah fikiran buntu
Insan lain tak dapat membantu
  
 **
**Rujukan surah al-Kahfi:   (34-36,  42 dan 43):


18:34

18:35
18:36

34.     Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta  (yang lain), lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya:  Áku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”
35.     Dan ia pun masuk ke kebunnya  (bersama-sama rakannya)  sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri  (dengan sebab kufurnya) sambil ia berkata:  Áku tidak fikir kebun ini akan binasa selama-lamanya.”
36.     “Dan aku tidak fakir, hari kiamat akan berlaku dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhan  (sebagaimana kepercayaanmu) tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini”

 18:42 
18:43

42.     Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tanganya  (kerana menyesal)  terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata:  “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”
43.     Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, melain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.


Bersambung.

Sunday, June 22, 2014

Al Mulk Ayat 20


Al-Mulk Ayat 20

                                            بسم  الله  الرحمن  الرحيم


67:20

Terjemahan - ayat 20:

20.     Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah?  Sebenarnya orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya

Coretan  madah:

Ayat ini mengingatkan aku
Di zaman Musa kisah berlaku
Dengan tongkatnya lautan dipalu
Laut terbelah memberi lalu

Terselamat Musa dengan umatnya
Firaun mengejar sedaya upaya
Tapi mereka telah terpedaya
Separuh jalan tenggelam semuanya

Umat Musa amat gembira
Mereka juga mudah lupa
40 hari ditinggalkan Musa
Mereka kembali menyembah berhala

Ketika gentir manusia sedar
Hanya Allah tempat bersandar
Setelah terselamat mulalah ingkar
Sewenangnya saja berlaku mungkar



Bersambung

Monday, June 16, 2014

Surah Al-Ma'un - Orang yang mendustakan ugama

Surah  Al-Maa’uun
orang yang mendustakan ugama 
بسم الله الرحمن الرحيم
Mukaddimah :

Tersimpul surah di dalam madah
Bukan mentafsir merubah surah
Ilham yang datang  anugerah Allah
DaripadaNya  jua segala hidayah

Coretan madah ditulis ikhlas
Air wuduk sebagai penggalas
Sholat hajat sebelum dan selepas
Menjadikan madah tersusun kemas

Ada golongan jenis tidak kisah
Sepintas lalu dibaca madah
Menggeleng tidak, mengangguk entah???
Mungkin salah bahasa ke olah

Aku mengharap kritikan membina
Menyedari diri tidak sempurna
Bukan niat mengejar nama
Madah ingin dikongsi bersama

Moga difahami coretan madah
Mengajak kita bermuhasabah
Bahasa Al-Quran begitu indah
Dalam keindahan terselit perintah

Tersurat juga berbagai kisah
Untuk pengajaran sekalian ummah
Tanamkan semangat untuk berubah
Berubah kita ke jalan Allah

Inn  syaa  Allah
بسم الله الرحمن الرحيم

107:1
107:2
107:3
107:4
107:5
107:6
107:7
Terjemahan  -  Ayat 1 -  7:

1.       Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama  (meliputi hari pembalasan)?
2.       Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim
3.       Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin
4.       (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama),  maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang  -
5.       (Iaitu)  mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembayangnya;
6.       (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan ria’  (dalam ibadat dan bawaannya),
7.       Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan  (kepada orang yang berhak mendapatnya)

Coretan  madah:

Puas ku renung barisan ayat
Ilham datang tersekat-sekat
Sukar menyingkap rahsia tersurat
Akan ku cuba bersembahyang hajat

Selesai sembahyang, ku renung balik
Ayat tengah  (no. 4)  bunyinya pelik
Ahli sembahyang selalunya molek
Tapi disini terjadi sebalik

Kesibukan dunia manusia lalai
Dipenghujung waktu sembahyang tertunai
Tergesa-gesa tak lagi santai
Kadang luput  “Qada’anlah dipakai ***

        *** Petikan hadis: 
       
“Mereka yang mengakhirkan sholat hingga akhir waktunya.  Melalaikannya hingga habis waktu  “.  H.R  Ibn Jarir al-Thabari.

Kalau makan tepat waktu
Kalau sholat masa tak menentu
Kenapa harus jadi begitu
Lemahnya iman dikuasai nafsu

Ayat  6  perangai buruk
Mereka sembahyang hanya menunjuk
Berlaku alim dihadapan makhluk
Tidak ikhlas walau sebesar habuk

Ahli sembahyang ada yang bakhil
Enggan menolong walaupun yang kecil
Mengeluarkan zakat baginya mustahil
Bila bersedekah badannya menggigil

Berbalik ke ayat pertama
Ditanya siapa pendusta ugama
Penindas si yatim jawaban pertama
Menzalimi si miskin  golongan kedua

Golongan ketiga yang paling dahsyat
Seperti firman di ayat ke empat
Merekalah golongan ahli ibadat
Mereka miliki seburuk-buruk sifat

Lalai, riak, bakhil haruslah dibuang
Dibuang jauh dari ahli sembahyang
Menindas si yatim tetap dilarang
Golongan miskin harus dipandang

Jangan jadikan ibadah pincang
Pincang membawa ke neraka kecundang
Inilah peringatan buat ahli sembahyang
Kesucian zahir harus seimbang


Wallahhualam

Monday, June 2, 2014

Ayat Surah Al-Isra' 85 - Ilmu manusia adalah terhad

Ayat  85  Surah  Al-Isra’


بسم  الله  الرحمن  الرحيم

 17:85

Terjemahan ayat:

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh.  Katakan:  “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku;  dan kamu diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja

Coretan  madah:

Tidak nampak di mata kasar
Namun ujudnya tetap benar
Penciptanya Allah Maha Besar
IlmuNya luas tidak tergambar

Dalam Israa’ Allah berfirman
Perihal roh manusia tanyakan
Jawaban ringkas penuh ketegasan
Roh itu urusan Tuhan

Itulah jawaban Rasulullah berikan
Pabila Yahudi mengajukan soalan
Andai anda bertanyakan yang sama
Pasti serupa jawaban yang diterima

Penghujung ayat begitu jelas
Ilmu manusia amat terbatas
Persoalan roh usah dibahas
Nanti aqidah bisa terjejas

Alam ghaib kita imani
Bukan semestinya kita salami
Penerokaannya amat dibimbangi
Al-Baqarah ayat 3 marilah fahami


          Terjemahan ayat 3 surah Al-Baqarah:

 2:3

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan  (mengerjakan)  sembahyang serta membelanjakan  (mendermakan)  sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Selaku hamba wajib akur
Perintah ditunai dengan hati luhur
NikmatNya disyukuri jangan kufur
Dianugerahkan ilmu usah takbur



Waullah hualam

Sunday, June 1, 2014

Al-Mulk Ayat 19

بسم  الله  الرحمن  الرحيم

67:19


Terjemahan - ayat 19:

19.     Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan  (kekuasaan Allah pada)  burung-burung yang terbang di atas mereka,  (siapakah yang menjaganya ketika)  burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan mengatupnya?  Tiada ada yang menahannya  (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan)  Allah Yang Maha Pemurah.  Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 


Coretan  madah:

Sungguh halus bahasa al-Quran
Diambilnya burung sebagai kiasan
Walaupun kecil punya keistimewaan
Boleh terbang boleh berjalan  (haiwan lain???)

Di ruang udara terbang bebas
Tinggi/rendah tidak terbatas
Takkan ia jatuh terhempas
Kerana Allah Maha Pengawas

Lihatlah pula haiwan gajah
Badannya besar begitu gagah
Namun tercatat di lipatan sejarah
Burung kecil menewaskan gajah ***

*** Suruh Al-Fiil –

105:1
105:2

105:3
105:4
105:5

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah.  Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia.  Dan Dia  mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.  Yang melempari mereka dengan batu dari tanah yang terbakar.  Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun  yang dimakan  (ulat)


Keistimewaan burung kita lanjutkan
Kisah terjadi di zaman Sulaiman
Burung Hudhud nama gelaran
Menjadi penghubung dua kerajaan


Bersambung...