Monday, April 21, 2014

Hormati Ibubapa

Ayat  23  Surah  Al-Israa’
بسم الله الرحمن الرحيم

17:23

Terjemahan ayat:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah  engkau berbuat baik kepada ibu bapa.  Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka  (sebarang perkataan kasar)  sekalipun perkataan  “ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia  (yang bersopan santun).

Coretan  madah:

Tercatat di ayat dua perintah
Pertama tauhid Allah disembah
Hormat ibubapa yg kedua diarah
Demikian perintah jangan disanggah

Setitis mani dikau berasal
Perit mengandung tiada disesal
Ibubapa sabar kental
Melayani anak tak pernah gagal

Kasih mereka tidak terhingga
Diharap si anak begitu juga
Membela mereka di usia senja
Bersikap lembut ikhlas menjaga

Namun hakikatnya berlainan belaka
Ramai muncul anak derhaka
Sitanggang tidak sekadar cereka
Yang ujud sekarang lebih celaka


Sianak lupa ayat di atas
Berkata kasar dilarang tegas
Apatah lagi perbuatan buas

Menyisih orangtua tanpa belas

Pak Engku

Wednesday, April 9, 2014

Mohon berikan komen



Assalamualaikum para pembaca budiman..

بسم الله الرحمن الرحيم


Madah Pak Engku sudah bersiaran sejak pertengahan Februari 2014 dengan 14 kumpulan madah dikongsi. Seperti yang dipraktiskan di dalam mana-mana sesi perkongsian, komunikasi dua hala adalah amat penting bagi mengekalkan kualiti kerja dan menentukan penambahbaikan yang berterusan.  Pada awal March kita telah mengurangkan jadual penyiaran dari setiap minggu kepada sekali setiap dua minggu dengan tujuan agar pembaca mendapat cukup masa mendalami apa yang tersirat sebelum penyiaran yang baru. Setelah sebulan dengan jadual ini kami ingin mendapatkan maklumbalas dari pembaca samada langkah demikian adalah lebih baik atau penyiaran setiap minggu adalah lebih effektif? 

Dalam kesempatan ini Pak Engku memohon para pembaca memberi sedikit komen membina yang mana boleh digunakan untuk menambahbaik madah-madah seterusnya, InsyaAllah. 

Seperti yang disiarkan pada salam pengenalan madah Pak Engku di bulan Feb'14 


Aku mengharap kritikan membina
Menyedari diri tidak sempurna
Bukan niat mengejar nama
Madah ingin dikongsi bersama


Mudah-mudahan kita semua diberkatiNya..


Pak Engku
9/4/14

Friday, April 4, 2014

Islam secara menyeluruh

Madah Surah Al Baqarah Ayat 208

بسم الله الرحمن الرحيم


2:208


Terjemahan  Ayat 208:

“Wahai orang-orang yang beriman!  Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;  sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.

Coretan Madah:

Merenung jauh ke dalam ayat
Kaum beriman diberi ingat
Hukum Tuhan hendaklah ditaat
Bukannya diambil sekerat-sekerat

Ambillah contoh perihal aurat
Pakaian dijaga ketika sholat
Di luar sholat, terbuka aurat
Terdedah bebas, bersaiz ketat

Ada bersholat setahun sekali
Wajahnya muncul di Aidil Fitri
Sholat fardu dia tidak reti
Menjadilah dia orang yang rugi

Ada kes yang lebih teruk
Berlagak pintar tapi macam nyanyuk
Katanya hadis ilmu yang lapuk
Hanya Al-Quran baginya petunjuk

Al-Quran dan hadis penyuluh jalan
Membimbing insan jalan kebenaran
Tidak dinafi kesahihan Al-Quran
Ilmu hadis ditolak jangan

Jejak syaitan jangan diikut
Syaitan itu suka menghasut
Nafsu serakah usah diturut
Azab Allah tidakkah takut???

Marilah kembali ke jalan Allah
Kita perbaiki amal ibadah
Tidak susah untuk berubah
Sematkan azam mohon hidayah


Rabiulakhir 1435 / Mac 2014