Thursday, May 28, 2015

Amalan Pertama Yang Dihisab ialah Sholat


بسم الله الرحمن الرحيم

          Didirikan sholat kerana sesungguhnya amalan  pertama yang akan dihisab di akhirat kelak adalah sholat.  Kita perhatikan adakah sholat kita selama ini dapat mencegah kita daripada melakukan kemungkaran.

          Nabi saw ketika diberitahu tentang adanya salah seorang yang sholat tetapi melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.  Kata Baginda Rasulullah saw sholatnya itu kalau benar pasti akan mencegah orang itu daripada perbuatan keji dan mungkar.

          Ertinya kalau orang yang sholat tetapi tidak dapat mencegah dirinya daripada perbuatan yang keji dan mungkar maka ada  “Something wrong”  dalam sholatnya sebab Allah swt memberikan jaminan matlamat daripada sholat itu adalah mencegah orang itu dari perbuatan keji dan mungkar.

          Kalau ada orang yang sholat tetapi masih lagi melakukan perkara keji dan mungkar maka ini disebabkan dia tidak menjiwa matlamat sebenar sholat itu.

          Mutiara kata  -  Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.

          Berkata Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari apabila ditanya mengenai seseorang yang sholat tetapi masih lagi melakukan perkara maksiat dan dosa dan juga orang yang tidak sholat tetapi dirinya tidak melakukan perkara yang mungkar.

          Maka Tuan Guru Syeikh mengatakan  “Bagaimana mungkin seseorang yang tidak sholat itu dikatakan tidak melakukan kemungkaran kerana sesungguhnya dirinya telah melakukan kemaksiatan, dosa yang begitu besar sekali terhadap dirinya kerana sholat itu adalah amalan pertama sekali yang akan dihisab di hari kiamat”.

          Bagaimana seseorang itu akan selamat jikalau diwaktu hidupnya tidak pernah menunaikan sholat?  Itu adalah dosa yang paling besar sekali sebab sholat itu adalah perkara yang paling mustahak yang perlu kita jaga.

          Mengenai seseorang yang sholat tetapi dirinya melakukan dosa dan kemaksiatan maka Tuan Guru Syeikh mengatakan orang yang sholat tetapi masih melakukan dosa dan kemaksiatan maka dirinya itu tidak ada perasaan malu kepada Allah Jalla Wa’Ala.  Sedangkan sholat itu sebenarnya dapat menghalang seseorang itu daripada terjerumus ke dalam kemaksiatan dan dosa.

          Cuma mengenai khusyuk dalam sholat itu adalah sesuatu yang berbeza.  Tidak dikatakan khusyuk seseorang itu jikalau di dalam hatinya masih mempunyai keinginan memikirkan mengenai hal-hal dunia ketika menunaikan sholat.

          Sebab itu kita digalakkan untuk sentiasa menjaga sholat fardhu secara berjemaah dengan menunaikan sholat di Masjid kerana khusyuk itu adalah kepunyaan Allah.  Dan Allah akan memberikan perasaan itu kepada orang-orang yang dikehendakiNya.

          Dengan sholat berjemaah kita dapat lebih memfocuskan kita berbanding kita sholat di rumah secara bersendirian.  Jangan kata diri kita khusyuk dalam sholat kalau kita tidak menjaga sholat fardhu berjemaah kerana dengan menjaga sholat fardhu berjemaah itu seseorang akan dapat lebih sempurna sholatnya berbanding ketika di rumah.  Dengan bacaan zikirnya, wiridnya semuanya akan lebih tersusun dan teratur ketika kita sholat berjemaah berbanding kita sholat di rumah bersendirian.

          Dan antara fungsi utama Masjid itu adalah untuk orang ramai berkumpul beribadah menunaikan sholat secara berjemaah.  Bukannya dibina Masjid hanya sekadar untuk berkumpul seminggu sekali dan dibiarkan kosong, tetapi sepatutnya kitalah yang selalu memenuhkan setiap ruang yang ada di dalam Masjid itu.

          Apabila kita mendengar azan dilaungkan janganlah kita hanya sholat di rumah kita sahaja tetapi, sepatutnya apabila kita mendengar azan itu kita cepat-cepat bersiap untuk hadir ke Masjid dengan pakaian yang kemas-kemas dan wangi-wangi.

          Jangan kita hanya pakaian yang kemas-kemas, cantik-cantik dan wangi-wangi apabila kita hendak berjumpa dengan kawan sahaja ataupun hendak pergi ke sesuatu tempat.  Akan tetapi sepatutnya apabila hendak berjumpa Allah Jalla Wa’Ala di dalam sholat itulah detik-detik, saat-saat indah untuk kita berpakaian kemas dan cantik serta berwangi-wangian.

Mutiara kata  -  Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjar Al-Makki.



Wallahualam.                                                                                                  

No comments:

Post a Comment