Friday, December 5, 2014

Al-Ankaabut ayat 67 - 68

Ayat  67  dan  68


بسم الله الرحمن الرحيم 
29:67

 29:68

Terjemahan ayat:

67.     Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan  (Makkah, negeri mereka)  tanah suci yang dihormati, lagi aman;  sedang orang-orang ramai yang tinggal di sekeliling mereka sentiasa diculik  (untuk ditawan atau dibunuh)??  Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah??
68.     Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau mendustakan kebenaran setelah kebenaran ini disampaikan.Bukankah dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir??

Coretan madah:

Ku renungi ayat ini
Kesucian Makkah amat diyakini
Dari dulu hingga kini
Terpelihara ia daripada dicemari

Demikian mulianya kota Makkah
Tiada dicemari titisan darah
Bukan seperti di lain daerah
Penduduk Makkah dinaungi rahmah

Namun kafir Quraisy terlalu buta
Segala yang baik dianggap dusta
Keingkaran mereka begitu nyata
Neraka Jahanam bagai dipinta

Ku buat rujukan beberapa surah
Surah-surah itu menyokong hujjah
Betapa pentingnya negeri Makkah
Di surah Al-Balad Allah bersumpah**

Begitu mulianya negeri Makkah
Di dalamnya terbina Baitullah
Kepadanya kiblat beralih arah
Rujukan Ali-Imran dan Al-Baqarah***

Makkah bumi kelahiran Rasullulah
Nabi Ibrahim juga mendoakan Makkah****
Dibuminya tercatat pelbagai sejarah
Pertemuan Adam/Hawa di jabal Rahmah


**(Surah Al-Balad  -  ayat 1)

90:1
 “Aku  bersumpah dengan negeri  (Makkah) ini”


*** (Surah Al-Imran  -  ayat 96)

3:96

“Sesungguhnya; Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia  (beribadat kepada Tuhannya)   ialah Baitullah yang di Makkah, yang berkat dan  (dijadikan)  pertunjuk hidayah bagi umat manusia”



 ***(Surah Al-Baqarah  -  ayat 144)

2:144

          “Kerapkali Kami melihat engkau  (wahai Muhammad)   berulang ulang menengadah ke langit maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai.  Oleh itu palingkanlah mukamu kearah masjid Al-Haram  (tempat letaknya Kaabah);dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.Dan sesungguhnya orang-orang  (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara  (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka;  dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”.


**** (Surah Al-Baqarah  -  ayat 126)

2:126

Dan  (ingatlah)  ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata:  “Wahai Tuhanku!  Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya.Iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”.  Allah berfirman:  “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia) kemudian Aku memaksukannya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”. 


bersambung..

No comments:

Post a Comment