Friday, July 11, 2014

Madah Surah Al-Qadar

 بسم الله الرحمن الرحيم

Muqaddimah  Surah:

 Surah ini diturunkan di Makkah,  mengandungi lima ayat.  Dinamakan surah  “Al-Qadr”  (Kemuliaan),  kerana pada awal surah ini Allah menegaskan bahawa Ia telah menurunkan  Al-Quran pada malam  “Lailatul-Qadar”  (Malam Kemuliaan dan  Kebesaran).
 Yakni Allah mulai menurunkan Al-Quran pada malam yang mulia itu, kemudian diturunkan sedikit demi sedikit selama dua puluh tiga tahun,  (13 tahun di antaranya di Makkah, dan 10 tahun lagi di Madinah)
         
Intisari kandungannya:  

Menerangkan bahawa Al-Quran yang mulia, mula-mula diturunkan ialah pada malam yang mulia  -  “Malam Lailatul-Qadar”

Kemudian Allah menerangkan kemuliaan dan kebesaran malam itu kepada Baginda:  “Malam Lailatul-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan!”
Yang bermaksud ibadat yang dikerjakan pada malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada  amal ibadat yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain.

Oleh kerana dalam surah yang lain diterangkan bahawa Al-Quran itu diturunkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan maka dapatlah diketahui bahawa  “Malam Lailatul-Qadar”  yang berkat itu ialah salah satu malam dari bulan Ramadhan, tetapi tidak diterangkan malam yang mana satu?

Tujuannya supaya Baginda dan umatnya membanyakkan ibadat dan amal kebajikannya di sepanjang-panjang bulan Ramadhan, terutama pada 10 malam yang akhir dari bulan yang mulia itu.

 بسم الله الرحمن الرحيم

97:1

97:2

97:3

97:4

97:5

Terjemahan ayat:

1.       Sesungguhnya Kami telah menurunkan  (Quran)  pada malam  Lailatul-Qadar
2.       Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu??
3.       Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan
4.       Pada malam itu,  turun para malaikat dan Jibril  dengan izin Tuhan mereka , kerana membawa segala perkara  (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)
5.       Sejahteralah  Malam  (yang berkat)  itu hingga terbit fajar!

Coretan madah:

Hati diulit rindu
Ramadhan menggamit syahdu
Lailatul Qadar sedia menunggu
Namun harinya tiada yang tahu

Ia menjadi malam rahsia
Agar hambaNya tekun berusaha
Mempertingkatkan amal meraih redha
Bukan beramal sehari sahaja
  
Surah al-Qadr aku terpegun
Lima ayat indah tersusun
Tercatat di sini peristiwa berkurun
Peristiwa tentang Al-Quran turun

Alam langit peringkat pertama
Sekali gus diturunkan ia
Dari Lauh Mahfuz ke langit dunia  (Baitul Izzah)
Seperti maksud  ayat pertama  (dari surah Al-Qadr)

Kemudian berlaku peringkat kedua
Diturunkan Al-Quran ke alam dunia
Kepada Muhammad rasul mulia
Duapuluhtiga  (23)  tahun tempoh masanya

Al-Quran itu sungguh hebat
Penyuluh jalan daripada sesat
Permulaannya turun di malam keramat
Malam Lailatul Qadar penuh berkat

Keberkatan Lailatul Qadar tiada bandingan
Beramal di malamnya mendapat ganjaran
Ganjaran pahala seribu bulan
Menjadi idaman setiap insan

Inilah malam turunnya malaikat
Membawa urusan makhluk sejagat
Beruntung mereka beramal ibadat
Sehingga Subuh dinaungi rahmat

Terbukti agungnya mukjizat Al-Quran
Bukan sekadar penyuluh jalan
Ulang tahun penurunannya penuh kemuliaan
Lailatul Qadar kita dianugerahkan

Kita semarakkan bacaan Al-Quran
Kita pertingkatkan amal kebajikan
Terbiyah diri di bulan Ramadhan
Moga amalan dapat diteruskan



Wallah  hualam

No comments:

Post a Comment