Monday, October 26, 2015

Keyakinan yang sebenar-benarnya

Keyakinan yang sebenar-benarnya
بسم الله الرحمن الرحيم

Yang membezakan di antara seseorang itu untuk terus beramal soleh melakukan apa sahaja yang di perintahkan oleh Allah Ta’ala dan meninggal segala yang dilarang olehNya itu adalah kekuatan makna keyakinannya di dalam hati.
Orang yang yakin dengan janji-janji Allah dan yang yakin dengan apa yang disebutkan melalui lisannya Baginda Rasulullah saw maka pasti dia akan berusaha sedaya upaya untuk  meningkatkan amal ubudiyahnya kepada Allah Ta’ala sebaliknya orang yang lemah keyakinan maka di akan mudah terpedaya dengan tipu muslihat syaitan dan hawa nafsunya.
Tidak ada satu pemberian yang Allah berikan kepada seseorang setelah nikmat iman, keafiatan, kesihatan dan yakin. Kita dapat memerhatikan bagi orang-orang yang bertaqwa sejak daripada zaman Saiyidina Rasulullah saw sampai kepada detik kita sekarang.
Yang membezakan di antara posisi dengan posisi dan juga kedudukan dengan kedudukan. Yang membezakan kita antara orang Islam yang beragama antara satu yang lain itu adalah keyakinannya. Bukan kerana jawatannya, bukan kedudukannya, bukan takhta dan hartanya, bukan juga kekuatan dan keperkasaannya.
Yang walaupun dengan kehidupan yang serba sederhana tetapi ternyata generasi kita yang terdahulu memiliki suatu keyakinan yang kita tidak miliki sekarang ini sehingga keyakinan yang kental, keyakinan yang mantap maka mereka melakukan,
melaksanakan apa sahaja daripada tuntutan-tuntutan agama. Segala-galanya berpunca daripada al-yakin kepada Allah Jalla Wa'Ala.
Dengan sembahyang berjemaahnya, dengan zikirnya, dengan tasbihnya, dengan tilawahnya, dengan sedekahnya, dengan pengorbanannya menuntut ilmu, dengan puasanya, dengan perjuangannya ataupun juga dengan amalan yang lain
kesemuanya. Kalau tidak dibelakangi, dibentengi, didasari dengan keyakinan yang mantap maka tidak ada sesiapa pun yang mampu ataupun juga tidak ada sesiapa pun yang terpancing ataupun juga terpanggil untuk melaksanakannya.
Kita ingin membuat satu perbandingan MashaAllah Tabarakallah keyakinan Para Sahabat Nabi saw. Mungkin kita mengingati petistiwa Israk Mikraj kenapa ada satu perbezaan yang sangat-sangat besar sekali di antara Saidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu'Anhu dengan Para Sahabat Nabi kita yang lainnya.
Nabi kita bersabda di dalam sebuah hadis  "Pernah dengan aku diletakkan di dalam timbangan dan kemudian Ummatku kesemuanya diletakkan di dalam timbangan yang lain. Ternyata dengan aku lebih berat daripada Ummatku kesemuanya. Kemudian setelah itu ditimbang Saidina Abu Bakar dan juga Ummatku kesemuanya. Ternyata timbangan Saidina Abu Bakar yang lebih berat daripada Ummatku kesemuanya."
Apakah kira-kiranya dengan timbangan yang berat tadi itu dengan badan yang besar? Dengan perekonomian yang kuat? Dengan bisnes yang besar? Dengan politik yang hebat? Tidak!!! Nabi kita bersabda  "Saidina Abu Bakar itu tidak melebihi kalian dikeranakan dengan sembahyang yang banyak ataupun juga dengan puasa yang banyak ataupun juga dengan ibadah yang banyak.
Akan tetapi Saidina Abu Bakar itu melebihi kalian kesemuanya itu dengan keyakinan yang kental dengan keyakinan yang tinggi tersemai di dalam dada dan hati beliau."
Pentingnya untuk kita sentiasa berusaha meningkatkan keyakinan kita kepada Allah swt kerana Nabi saw bersabda "Keyakinan ialah keimanan keseluruhannya."
Kita hendak ukur  "Saya ini sudah yakin ke belum?  Iman saya sudah ada ataupun tidak?"  Ukuran sejauh mana kita punya keyakinan dan keimanan kita. Ini adalah salah satu tandanya.
Kalau kita ini banyak beramal dan apa yang kita dengar daripada Al-Quran daripada Hadis yang sampai kepada kita dan pesanan-pesanan amalan yang menjanjikan ganjaran daripada Allah itu kita dengar dan kita buat terus.
Itu bermakna kita sudah ada keyakinan dan juga keimanan tetapi kalau kita dengar dan kita tidak buat. Kita tahu tapi kita tidak segera untuk buat. Itu tandanya lemahnya keyakinan dan keimanan kita. Sebab apa? Sebab hanya orang yang yakin sahaja hendak buat. Sebab yang namanya pahala yang namanya ganjaran itu perkara ghaib tidak nampak.
Yang ukurnya iman yang ukurnya keyakinan dia. Kalau seseorang itu pergi pasar baca zikir dapat sejuta pahala. Mana pahalanya tidak nampak? Tetapi kita buat kenapa? Kerana kita yakin ada pahalanya yang dijanjikan oleh Allah swt.
Begitu juga kalau kita yang hadir ke majlis ilmu ini, yang sholat berjemaah di masjid, yang bangun di waktu malam untuk berzikir, beristighfar untuk sholat malam dan amalan-amalan yang lainnya. Kalau kita tidak yakin sudah pasti kita tidak akan hadir dan tidak akan hendak buat. Jadi hendak ukur kita ini betul-betul sudah yakin sudah beriman betul-betul mantap iman kita iaitu sejauh mana yang kita tahu di dalam amalan-amalan yang dijanjikan ganjaran-ganjaran maka kita akan segera buat.
Sebab itu Para Sahabat mereka itu orang-orang yang benar-benar yakin. Mereka berlumba-lumba kepada kebaikan. Apa sahaja yang mereka dengar daripada Nabi saw maka mereka akan segera untuk buat. Saidina Umar Al-Khattab Radhiyallahu'Anhu ketika mendengar Nabi saw mengatakan  "Barangsiapa yang mengali perigi dengan sebab itu orang ramai dapat mengambil manfaatnya maka setiap orang yang mengambil manfaat daripadanya itu maka dia akan mendapat ganjaran."
Bahkan disebutkan di dalam riwayat yang lain  "Akan dibinakan kepadanya satu sungai di Syurga." Maka Saidina Umar Al-Khattab dan Para Sahabat yang lain ketika mendengar mengenai perkara ini mereka diam dan pada malamnya itu dia pergi ke tempat yang disebutkan oleh Nabi saw untuk digali dibuat perigi itu.
Ternyata sampai dia di tempat itu dilihatnya perigi itu sudah pun siap. Ditanya oleh Saidina Umar kepada orang ramai di situ siapakah yang buatnya? Maka diberitahu yang membuatnya adalah seorang yahudi.
Keesokkannya Saidina Umar pergi berjumpa dengan Nabi saw lalu menangis kerana dia seolah-olah sudah kehilangan tidak dapat hendak melakukan kebaikan yang disebutkan oleh Nabi saw. Nabi saw mengatakan  "Wahai Umar. Kenapa kamu menangis?" Lalu diceritakan  "Ya Rasulullah. Aku nak buat perigi tapi ternyata orang yahudi sudah buat".
Maka Nabi saw mengatakan  "Niatnya seorang yang mukmin itu lebih baik daripada amalannya orang yahudi. Maknanya kamu mendapatkan ganjaran juga walaupun kamu tidak dapat membuatnya."
Jadi kita ini hendak betul-betul yakin hendak dapatkan keyakinan sepertimana keyakinan Para Auliya Allah, Para Solihin maka kita perlu ada mujahadah bersungguh-sungguh dalam beramal kerana syaitan dan hawa nafsu ini akan menghalang kita supaya kita jangan buat.
Jadi kita perlu ada mujahadah kesungguhan yang mana bilamana kita sudah ada mujahadah bersungguh-sungguh Allah jamin  "Siapa yang bersungguh-sungguh demi untuk Kami yakni Allah pada jalan Allah maka Kami akan tunjuki kepada mereka jalan-jalan Kami."
Bukan satu jalan sahaja tetapi bermacam-macam jalan yang ditunjukkan oleh Allah swt untuk menuju kepada Allah swt. Ada orang yang dipermudahkan jalannya menuju kepada Allah dengan ibadah sholatnya, dengan puasanya, dengan sedekahnya, dengan bacaan Al-Qurannya, dengan zikirnya, dengan dia menuntut ilmu dan bermacam-macam cara.
Sebab itu kita ini nak membina dan meningkatkan keyakinan kita kepada Allah swt mesti kita kena mujahadah bersungguh-sungguh dalam beramal. Bila kita dengar sesuatu kebaikan kita niatkan betul-betul yang kita hendak terus beramal jangan tangguh-tangguh. Sebab apa? Sebab kalau kita tangguh-tangguh syaitan akan datang melemahkan kita dengan tipu daya muslihatnya.
Berkata Lokman Al-Hakim  "Tidak dapat dicapai amalan kecuali dengan keyakinan dan tidaklah beramal seseorang hamba melainkan sekadar keyakinannya. Dan tidak akan berkurangan amalannya sehingga berkurang terlebih dahulu keyakinannya."
Bermakna seseorang itu akan beramal sesuai dengan setinggi mana keyakinannya. Kalau dia yakin maka sudah pasti dia akan beramal.
Sebaliknya orang yang merasakan amalannya berkurangan bukanlah kerana dia tidak beramal tetapi sebenarnya keyakinannya itu yang lemah sehingga menghalang dirinya untuk beramal. Jadi kita lihat di manakah kita berada dalam tiga peringkat keyakinan. Adakah kita berada di peringkat pertama iaitu

1.      Darjat Para Ashabul-yamin yang mempunyai keyakinan yang teguh tetapi dalam masa yang sama ada juga kadang-kadang tergugat sedikit sebanyak dengan sesuatu tetapi dia masih ada lagi keteguhan di dalam keyakinannya.
2.      Darjat Para Muqarrabin iaitu orang-orang yang didekatkan oleh Allah swt. Yang ini adalah keyakinan yang mantap yang tidak sama sekali ianya akan berkurangan tetapi kebiasaannya yang berlaku kepada golongan darjat Para Muqarrabin ini adalah bertambahnya keyakinan dan bertambahnya iman dengan sebab keyakinannya itu.
3.      Darjat yang paling tinggi sekali adalah darjat Para Nabi dan Para pewarisnya yang telah sempurna berupa Para Siddiqin. Yang mana perkara yang ghaib akan menjadi syahadah  (yang terlihat)  dan darjat ini diibaratkan dengan kasyf dan iyaan  (pendedahan dan penglihatan).

Perbezaan di antara satu darjat dengan darjat yang lain itu ada perbezaan yang jauh sekali sebab itu setiap Para Auliya Allah itu tidak sama kedudukannya. Ada yang dimuliakan dengan dibuka baginya untuk melihat perkara-perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang lain dan ada juga yang dimuliakan dengan diberikan kepadanya cahaya untuk mengetahui apa yang berada di dalam hati seseorang.
Namun begitu semua mereka adalah diutamakan dan setengah mereka lebih diutamakan dari setengah yang lain. Itulah kelebihan Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang disukaiNya dan Allah itu mempunyai kelebihan yang besar.


Mari kita muhasabah diri. Kita tingkatkan keyakinan. Kita lakukan amal kebaikan. Kita mengimarahkan Rumah Allah. Kita sholat berjemaah. Peringatan buat diri sendiri secara khususnya dan bersama secara umumnya. Semoga mendatangkan manfaat.


Wallahu’alam

No comments:

Post a Comment