Friday, July 24, 2015

Kepentingan Ibadah Puasa

Kepentingan  Ibadah  Puasa **     
بسم الله الرحمن الرحيم

Ibadah puasa adalah termasuk dalam rukun Islam.  Ini bermakna        puasa termasuk ibadah yang terpokok.  Yang menjadi perkara asas untuk membina peribadi Muslim.  Apa yang ada pada puasa hingga dipilih Allah swt untuk masuk senarai rukun Islam?
Mula-mula orang yang ingin pada Islam disuruh buat pengakuan dan kesaksian keyakinannya pada Allah swt dan Rasul:  "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah".   Pengakuan ini kemudian disuruh buktikan melalui sembahyang.  Berbagai ikrar, janji dan harapan kita bisikkan kepada Allah swt sewaktu sembahyang demi membuktikan
kita taat tunduk   (rukuk dan sujud)  kepadaNya.
Menyatakan kerelaan fizikal dan mental kita menyerah
diri kepada Allah swt.  Menajamkan rasa kehambaan di dalam hati dan menyuburkan rasa berTuhan di dalam jiwa.
Ibadah puasa jatuh nombor ketiga iaitu selepas ibadah sembahyang.  Maksudnya, selepas membuat pengakuan taat setia, maka kita diuji dengan suatu perintah aneh
iaitu puasa.  Kita tidak dibenarkan makan disiang hari selama sebulan sekalipun lapar dan makanan ada dihadapan mata.  Ertinya Allah swt mahu mendidik kita untuk susah, berletih lesu, menahan keinginan pada sesuatu sekalipun
ia ada di hadapan mata.  Bukankah itu aneh?   Orang yang jahil dan kurang faham akan menganggap ia sebagai suatu penyiksaan dan bebanan lantaran itu berlalunya
Ramadhan disambut dengan riang.
Apa sebenarnya yang Allah swt kehendaki dari puasa?
Menahan keinginan terhadap sesuatu yang kita ingini adalah sesuatu yang perlu dan penting.  Istilah kecewa atau frust lahir dari seseorang yang tidak dapat menahan hati dari keinginan yang tidak tercapai.  Dan kecewa adalah
penyakit lumrah dalam masyarakat kini.  Terkadang penyakit kecewa boleh membawa manusia kepada
pelbagai lagi penyakit-penyakit jiwa yang lain.  Dan ini akan terus berlaku sebab kehidupan manusia selalunya
terlalu banyak keinginan-keinginan yang tidak tercapai. Walau betapa bijak, kaya dan berkuasa seseorang itu, dia tentu tidak dapat menolak taqdir Allah swt.
Allah swt sudah tentukan bahawa setiap manusia itu akan diuji.  Tidak tahu sabar adalah suatu kekurangan yang merbahaya.  Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan yang meminta agar kita dapat berlaku sabar.  Di dalam
menunaikan perintah-perintah Allah swt, di dalam menghadapi musibah dan kesabaran yang paling utama adalah bersabar di dalam meninggalkan larangan-larangan Allah swt lahir dan bathin.
Imam Bukhari ketika bermunajat dengan Allah swt berbisik-bisik:-  "Bukan aku tidak sabar dengan ujianMu ya Allah, cuma hendak mengadu padaMu, tempat aku kembali nanti.  Memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah".   Begitulah seharusnya hati orang Mukmin tatkala berhadapan dengan persoalan hidup. Mereka tunduk dan patuh kepada kehendak Allah swt kerana merasakan segala-gala yang berlaku adalah dengan keizinan dan kemahuan Allah swt.
Malah mereka memuji-muji Allah swt kerana Maha Bijaksana dan Maha AdilNya melakukan kejadian itu. Kalau ujian berupa nikmat, mereka bersyukur bersama airmata kesyukuran dan kalau berupa kesusahan, mereka bersabar dan redha bersama airmata kesabaran.
UNTUK TUJUAN INILAH PUASA ITU DIPERINTAHKAN.  ALLAH TENTUKAN KEHIDUPAN DI DUNIA ADALAH PERGILIRAN NIKMAT DAN UJIAN.   DAN KEBAHAGIAAN
SEBENAR IALAH PADA MEREKA YANG BOLEH BERSYUKUR DAN BERSABAR.   SEBAB ITU ALLAH
MAHU DIDIK MANUSIA KE ARAH ITU.
Bila kita berpuasa bererti kita mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana Allah swt, bukan kerana lain-lain.  Dan kalau ini dilatih, dibiasakan selama
sebulan, ertinya kita membuat latihan jiwa untuk bersabar, untuk patuh menanggung kesusahan kerana Allah swt.
Jiwa yang apabila berhadapan dengan kejadian yang malang, kecewa, hampa, susah dan kegagalan akan tunduk dan sabar dengan Allah swt, kerana Allah swt.  Kita boleh berikhtiar untuk elakkan kemalangan itu tapi bukan dengan
hati yang panas, marah-marah dan memberontak.
Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa kehambaan di dalam hati kerana
merasakan lemahnya dia untuk menolak taqdir dan kuasa Allah swt.  Inilah jiwa yang tenang.
Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak
membuatkan jiwanya mahu bersabar dengan keinginan yang tidak tercapai, kesusahan dan kegagalan, samalah dengan orang yang tidak berpuasa.  Maka kalau puasa tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan Allah swt dan
sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda
Rasulullah;   "Tidaklah diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga."   Semoga menjadi panduan hati kita mengapa perlunya kita berpuasa, matlamatnya mencari keredhan Allah swt dengan bersabar segalanya.   Semoga diri kita adalah yang tergolong daripada orang yang bersabar dan dikasihi Allah swt ....



Waulah hu alam
PE

No comments:

Post a Comment