Alam Barzakh Dan Padang Mahsyar
بسم الله الرحمن الرحيم
Di akhir zaman ini semakin kurang atau amat
sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzakh dan seterusnya padang mahsyar. Kerana manusia sedang membangun dunianya,
kebanyakan mereka dilalaikan oleh kesenangan, keindahan dan kelazatan dunia
yang sementara. Sesungguhnya mereka yang memburu kesenangan duniawi ini
bagaikan memburu bayang yang bergerak, sehingga kehabisan umur dan kematian pun
tiba. Akhirnya mereka terkejut besar
apabila Malaikat maut datang dengan mengejut mencabut nyawanya, kerana tiada
sebarang persiapan atau bekalan untuk menghadapi suatu perjalanan yang jauh.
Menurut Imam Al-Ghazali, manusia terbahagi
kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati iaitu yang pertama,
golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana
terlalu kasih dan cintakan dunia.
Golongan kedua, yang apabila
terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan
timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha
menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak
meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat
mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar
yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati
menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan
dengan syariat Islam.
Nabi SAW bersabda:
“Perbanyaklah mengingati pemutus
kelazatan”. - (Hadith
Riwayat An Nasai, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad. Hadith ini hasan menurut
Syaikh Al Albani)
Yang dimaksudkan adalah kematian. Kematian disebut haadzim (pemutus)
kerana ia menjadi pemutus
kelazatan dunia. Rasulullah saw mengakui bahawa umat manusia mempunyai banyak
kelemahan, antara kelemahan yang paling ketara ialah tidak sepi dari sifat
lalai dan lupa. Justeru itu insan amat
memerlukan bimbingan dan peringatan, kerananyalah
Allah swt telah mengutuskan para rasul bagi menerima wahyu, kerana wahyu itulah yang diperlukan oleh
manusia sebagai petunjuk dan peringatan bagi membantu mengatasi kelemahan sifat
manusia. Firman Allah SWT: “Dan
tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi
orang-orang yang beriman." (Az-Dzariat: 55)
Orang sering bercakap tentang rakan atau
sahabat mereka yang telah kembali menyahut seruan Ilahi, sipulan telah mati dan
sianu sudah mati, tetapi sayangnya jarang sekali dia memikirkan bilakah
kematian itu akan sampai kepada giliran dirinya. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan
yang telah dibuat? Dari Ibnu
‘Umar, ia berkata, “Aku pernah
bersama Rasulullah saw lalu seorang Anshor mendatangi beliau ia memberi salam
dan bertanya, “Wahai Rasulullah, mukmin manakah yang paling baik?” Beliau
bersabda: “Yang paling baik
akhlaknya”. Ia kembali pertanya,
“Lalu mukmin manakah yang paling
cerdas?”, Beliau bersabda: “Yang
paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri
untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.” - (Hadith Riwayat Ibnu Majah. Hasan menurut Syaikh Al
Albani)
Oleh kerana kehidupan selepas mati ibarat suatu
perjalanan yang jauh yang memakan masa lama. Menyedari hakikat itu pasti insan memerlukan
suatu persiapan yang mencukupi dan sempurna, orang yang lalai tidak pernah
memikirkan persiapan menghadapi mati. Bayangkan
jika secara tiba-tiba seseorang itu terlantar di padang pasir yang tandus, bila dahaga telah
mencekik kerong-kongnya lantas diapun terbayang mustahaknya air, tetapi baru
dia sedar bahawa sedikitpun dia tidak mempunyai bekalan air itu.
Saiyidina Ali r.a. pernah berkata: "Bahawa
manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari
tidurnya." Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu
sentiasa dalam lalai atau bagaikan orang yang tertidur lena, dia akan terkejut
ketika kematian tiba secara mendadak.
Indahnya kematian ... Imam Ibnu Rajab menukil dari seorang ulama salaf yang berkata: "Berpuasalah ketika di dunia dan jadikan waktu berbuka ketika kamu mati. Dunia ini seluruh bulannya adalah bulan puasa bagi orang-orang bertakwa, mereka menahan diri dari syahwat yang diharamkan, dan jika ajal datang, bererti mereka telah selesai berpuasa dan mulai merayakan hari raya mereka". - (Latha'if al-Ma’arif, hal 346)
Indahnya kematian ... Imam Ibnu Rajab menukil dari seorang ulama salaf yang berkata: "Berpuasalah ketika di dunia dan jadikan waktu berbuka ketika kamu mati. Dunia ini seluruh bulannya adalah bulan puasa bagi orang-orang bertakwa, mereka menahan diri dari syahwat yang diharamkan, dan jika ajal datang, bererti mereka telah selesai berpuasa dan mulai merayakan hari raya mereka". - (Latha'if al-Ma’arif, hal 346)
Justeru, ingatlah wahai sahabat yakni saudaraku
sekelian bahawa perkara kematian itu adalah suatu peringatan yang berguna
kepada manusia untuk menginsafi diri sendiri dan juga orang lain bahawa kita
semua adalah tertakluk kepada sang pencipta yang agung yang menghidup dan
mematikan makhluknya ... Allah Azza Wa Jalla berkuasa atas segalanya, La ila
Hai Lallah, Allah Hu Akhbar ... aamiin.
Wallahualam
Pak Engku
No comments:
Post a Comment