Monday, June 1, 2015

Hadiah  buat  Ibu
بسم الله الرحمن الرحيم

Yang Terbaik Adalah Sebuah Perhatian.  Bukanlah wang ringgit yang sangat diharap oleh seorang ibu dari anaknya.
Tiada hadiah buat ibu yang lebih bernilai melainkan kasih sayang dan perhatian dari anak-anaknya. 
Hadiah kasih sayang ini terdapat dalam berbagai bentuk yang boleh kita hadiahkan dengan penuh keikhlasan.

1.      Hadiah buat ibu – Kehadiran:
Buatlah ibu merasa kehadiran anda dengan sering menziarahinya sekerap mungkin.

Menziarahi ibu tidak sama dengan melawat museum dimana anda datang, lihat dan pergi. Ibu anda bukan sebuah artifek yang dipamerkan di museum.

Duduk dan berbuallah dengannya. Makanlah bersamanya. Sekali-sekala tidurlah di rumahnya walaupun rumah anda dekat dengan  rumahnya. 

2.  `   Hadiah buat ibu – Senyum:
Senyumlah bila bertemu dengan ibu anda.  Jangan merungut,
gelisah dan berwajah muram semasa menziarahinya kerana ini akan menyusahkan hatinya.  Sebaliknya senyumlah kerana senyum akan memberi ketenangan kepada ibu anda.

3.      Hadiah buat ibu  Ucapan
Ucapkanlah terima kasih atas segala-segalanya kerana membesarkan anda. Katakan anda sayangkan ibu anda. Ucapkan kata-kata pujian atas segala kelebihan dan keistimewaannya.  Ucapkanlah bahawa anda memohon maaf atas segala kesalahan yang pernah anda lakukan kepadanya. Kalau semua ucapan itu anda boleh ucapkan kepada orang lain, ibu anda lebih berhak mendengar ucapan-ucapan itu dari anda.  Dia tentu rasa bahagia mempunyai anak seperti anda.

4.      Hadiah buat ibu – Sentuhan:
Jangan pernah merasa jijik untuk menyentuh ibu anda yang pernah membersihkan najis anda dengan tangannya ketika anda kecil.  Salam dan cium tangannya, peluk dan ciumlah dia.  Dengan cara ini dia akan merasa anaknya dekat dengannya.  Jika dia merasa lenguh-lenguh, urutlah dia walau tidak diminta.  Jika dia pening picitlah kepalanya.  Ini akan membuat ibu rasa bahagia dibelai oleh anaknya. 

5.      Hadiah buat ibu  Mengalah
Sekiranya pendapat anda tidak sehaluan dengan ibu anda
elakkan pertengkaran dan mengalah demi menghormati dan menjaga hati ibu anda.  Dengan mengalah hati ibu menjadi lembut dan mungkin ia akan  pertimbangkan semula pandangan anda.  Sekiranya kehendaknya tidak menimbulkan masaalah, apa salahnya kita mengalah dan akur dengan kemahuannya walaupun mungkin kita kurang setuju dengan kemahuannya.  

6.      Hadiah buat ibu – Pendengar yang setia:
Ibu anda mempunyai telalu banyak perkara yang ingin
diceritakan kepada anda tentang pengalaman dan petua-petua yang dia ketahui.  Jadilah pendengar yang setia kepada ibu anda walaupun cerita itu telah anda dengar beberapa kali. Jangan mencelah, memperleceh atau tidak endah semasa ibu bercerita.  Ini akan membuat ibu anda kecil hati. Sebaliknya jadilah pendengar setia ibu anda walaupun tidak semua yang anda setuju dengan cerita itu

7.      Hadiah buat ibu – Membantu pekejaannya:
Bila ibu anda telah mencecah usia emas dia tidak berupaya lagi membuat  kerja-kerja mengemas dan mencuci.  Tidak berupaya lagi membetul dan membaikpulih alatan di rumah. Tidak berupaya membuat kerja-kerja yang dahulunya dia mampu lakukan disebabkan faktor usia.  Adakanlah masa dimana anda dapat meringankan kerja-kerjanya yang dia tidak berupaya melakukannya lagi.   Ini adalah hadiah yang sangat bernilai baginya. 

8.      Hadiah buat ibu – Bawa ibu berjalan:
Diantara perkara yang boleh membuat ibu gembira ialah bila anak-anaknya membawa dia berjalan, terutama ke tempat yang dia sukai.  Anda tidak perlu membawa ibu anda melancong ke luar negara untuk membuat ibu anda gembira. Kadang-kadang memadai anda membawa ibu anda pulang ke kampong asalnya dan itu sudah cukup membuat dia gembira. Aturkanlah untuk berjalan ke tempat kesukaan ibu bukan kesukaan anda.

9.      Hadiah buat ibu  Doa:
Tiada hadiah lebih besar dari doa anak-anak untuk
kesejahteraan ibu mereka. Doakanlah ibu anda setiap hari, kerana ibu anda juga tidak pernah lupa mendoakan anak-anaknya.                                                        


“Ya Allah, bersihkan hati kami dan lindungi keaiban kami, sembuhkan penyakit kami, tunaikan hutang kami, serikan wajah kami, angkat darjat kami, kasihani ibubapa kami, ampuni ibubapa kami, perbaiki akidah kami dan cara hidup kami, hancurkan kelengkapan musuh kami, pelihara ahli kami, harta dan negara kami daripada pelbagai macam kemalangan, penyakit dan bala bencana, tetapkan pendirian kami dan tolong kami mengalahkan orang zalim, munafiq dan kafir dengan berkat kehormatan Al-Quran …

 Amiin amiin amiin ya rabalmaiin”.

No comments:

Post a Comment