Friday, October 10, 2014

Al-Ankaabut ayat 46 - 47

Ayat  46
29:46

Terjemahan ayat:

46.     Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah  (kepada mereka):  “Kami beriman kepada  (Al-Quran)  yang diturunkan kepada kami dan kepada  (Taurat dan Injil)  yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu adalah satu; dan kepadaNyalah kami patuh dengan berserah diri.”

Coretan  madah:

Terkepil-kepil ku renung ayat
Apa gerangan maksud tersurat
Allah turunkan Injil dan Taurat
Nasrani dan Yahudi dianuti umat

Umat Islam diturunkan Al-Quran
Ketiga-tiganya agama Tuhan
Namun berbeza disegi amalan
Membuka ruang untuk perdebatan

Perdebatan disaran secara hemah
Bicara diatur berbentuk ilmiah
Kemungkinan ujud para pembantah
Berdebat dengannya tiada faedah

Bagi penganut agama fitrah
Pasti mengakui keEsaan Allah
Yahudikah, Nasranikah atau Islamkah
Kepada Allah semua berserah

Ayat  47

29:47

Terjemahan ayat:

47.     Dan (sebagaimana Kami telah menurunkan Kitab-kitab ugama kepada Rasul-rasul yang telah lalu)  demikianlah Kami turunkan pula kepadamu  (wahai Muhammad) Kitab Al-Quran ini.  Maka orang-orang yang Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) ada yang beriman kepada Al-Quran, dan juga sebahagian dari orang-orang (kafir Makkah) beriman kepadanya; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang degil dalam kekufurannya.

Coretan madah:

Nabi Muhammad penutup Rasul
Kitab Al-Quran datang menyusul
Kitab dan Rasul penamat terunggul
Lahirlah Islam agama syumul

Kesucian Islam mustahil tertolak
Ajarannya membentuk kemuliaan akhlak
Hanya yang kafir tersumbat otak
Sombong dan degil mereka berlagak
Keterangan ayat semuanya ditolak

Daripada Allah hidayah datang
Menjadi beriman sebahagian orang
Bukanlah mereka orang sembarang
Diantaranya ahli kitab dan para penentang (kafir Makkah)
  

Contoh:

Abdullah bin Salam contoh diberi
Amat terkenal dikalangan Yahudi
Umar bin Khattab kafir Quraishi
“Singa Islam” baginda digelari

Telah lama zaman berlalu
Kurniaan hidayah tetap berlaku
Tidak mengira batasan waktu
Memeluk Islam sesiapa yang mahu


 bersambung..

No comments:

Post a Comment