Friday, February 14, 2014

Madah - Al- Fatihah

Salam perkenalan dari Pak Engku (Raja Abd Karim Raja Ali)

1.    
Madah  Surah  Al-Faatihah
(Pembuka  Surah)

بسم الله الرحمن الرحيم

Muqaddimah:

          Surah ini dinamakan  “Al-Faatihah”  (Pemuka atau yang mula-mula)  Ia juga dinamakan  “Ummu’l-Quran”  (Ibu Al-Quran)  dan  “Ummu’l-Kitab”  (Ibu Kitab Suci),  kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya Al-Quran diturunkan, untuk menerangkan satu persatu, iaitu:

(1)     Menetapkan wujudnya Allah ‘Azza wa Jalla yang mencipta seluruh alam, sebagaimana yang tersebut dalam firman-Nya :  “Al-hamdulillah hirab bil alamiin”

(2)     Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat Al-Jallal  (Kebesaran)  dan sifat-sifat Al-Kammal  (Kesempurnaan),  sebagaimana yang terkandung dalam firman-Nya:  “Arrahman-nir-rahim”

(3)     Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, sebagaimana yang tersebut dalam firman-Nya  “Malikiyau middin”   supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari nikmat hidup dunia dan kelazatannya semata-mata

(4)     Menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan oleh Allah sebagaimana yang tersebut dalam firman-Nya:  “Eeyaa kanakbudu”.  Sebab ibadat itu dengan segala jenisnya tak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak, dan mensucikan jiwa.

          Dengan iman yang hidup, tubuh badan yang sihat, akhlak yang baik, dan jiwa yang suci, berhasillah kebahagian manusia  -  kebahagian perseorangan dan kebahagian orang-orang yang sejenis dengannya.

(5)     Memperkatakan tentang kelemahan manusia, bahawa  ia tidak akan dapat melakukan sesuatu pun melainkan dengan pertolongan Allah dan izin-Nya, sebagaimana yang tersebut dalam firman-Nya  “Waeeyah kanastain”

(6)     Menerangkan bahawa perkara yang utama dihajati dan dipohonkan daripada Allah ialah memperoleh hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagian, dan cara melaluinya, sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya   “Iehdinas sira thal mustakim”.  Kerana telah sedia ada  berbagai  jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya pula banyak, berbilang-bilang, dan berlain-lain, disebabkan berlain-lainnya tabiat, adat dan hawa nafsu yang beranika ragam

(7)     Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah-kisah umat-umat manusia yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih akan apa yang sebabkan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia ini dalam keadaan yang selamat,, dan berjaya mendapat nikmat yang kekal pada hari akhirat kelak didalam syurga  “Daru’s-Salam”

Surah ini juga dinamakan  “As-Sab’u’l-Mathaani”  (Tujuh ayat  yang diulang-ulang)  bacaannya dalam sembahyang yang  berbilang-bilang rakaat, atau  (tujuh dasar yang berulang-ulang)  huraiannya di dalam Al-Quran

Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya  yang bermakna;  “Tidak ada di dalam Kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti Ummu’l-Quran”.

Demikianlah kelebihan surah Al-Faatihah yang diwajibkan kepada orang mengerjakan sembahyang membacanya.  Sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam jika ia tidak musafir.



Wallah  hualam


Tersimpul surah di dalam madah
Bukan mentafsir merubah surah
Ilham yang datang anugerah Allah
DaripadaNya jua segala hidayah

Coretan madah ditulis ikhlas
Air wuduk sebagai penggalas
Sholat hajat sebelum dan selepas
Menjadikan madah tersusun kemas

Ada golongan jenis  tidak kisah
Sepintas lalu dibaca madah
Menggeleng tidak,  mengangguk entah??
Mungkin salah bahasa ku olah

Aku mengharap kritikan membina
Menyedari diri tidak sempurna
Bukan niat mengejar nama
Madah ingin dikongsi bersama

Moga difahami coretan madah
Mengajak kita bermuhasabah
Bahasa Al-Quran begitu indah
Dalam keindahan terselit perintah

Tersurat juga berbagai kisah
Untuk pengajaran sekalian ummah
Tanamkan semangat untuk berubah
Berubah kita ke jalan Allah



Inn  syaa  Allah
Pak Engku

MADAH #1 : Surah Al-fatihah



 1:1
1:2

1:3

1:4

1:5

1:6

1:7

Terjemahan  -  ayat 1 hingga 7:

1.       Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam
2.       Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
3.       Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan  (kiamat)
4.       Engkaulah sahaja  (Ya Allah)  yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan
5.       Tunjukilah kami jalan yang lurus
6.       Jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka
7.       Bukan  (jalan)  orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula  (jalan)  orang-orang yang sesat.

Coretan  madah:

Al-Fatihah pembuka surah
7 ayat tersusun indah
Dibaca mudah menghayati payah
Tangan ditadah mohon hidayah

Dimulai tahmid  ‘Alhamdulillah’
125 huruf 25 kalimah
Asal turun di negeri Makkah
Kali kedua dipercayai Madinah

Ayat ditatap setiap baris
Tercuit kalbu hati menangis
Sejenak datang hasutan iblis
Bacaan ta’awuz jadi penangkis

Surah terbahagi dengan saksama
Tiga bagi Allah tiga untuk hamba
Ayat tengah dikongsi bersama
Keadilan Allah aku terasa

Ayat pertama begitu jelas
Sanjungan padaNya paling teratas
Memuji Allah penuh ikhlas
Anugerah nikmatNya tidak terbalas
Puja dan puji Allah yang Esa
Tuhan pemilik alam semesta
PentadbiranNya licin berjalan sekata
Maha Agung kudratMu sang Pencipta

Ayat kedua kini dilihat
Pengasih, Penyayang Dia bersifat
DikasihiNya semua mukhluk sejagat
Termasuk si kafir dan pelaku jahat

Allah penuhi hasrat mereka
Syurga dunia milik seketika
Bersama iblis teman gembira
Kasihnya Allah tidak terkira

Namun yang beriman beruntung lebih
Rahmah dan Rahim keduanya diperoleh
Allah merahmati mereka terpilih
Dibangkitkan nanti berkeadaan bersih

Hari kiamat hari pengadilan
Dibangkitkan makhluk seluruh zaman
Takkan tergambar di otak fikiran
Betapa Allah penuh kekuasaan

Tiga ayat selesai sudah
Penyataan khusus bagi Allah
Kini beralih ke ayat tengah  (empat)
Sifat Uluhiyah diganding Ubudiah

Uluhiyah sifat ketuhanan
Sempurna sifatnya tiada bandingan
KepadaNya sujud makhluk sekalian
Dia disembah tiada penyekutuan

Ubudiah sifat kehambaan
Sebagai hamba pergantungannya Tuhan
HambaNya memohon mengharap ihsan
Terasa kerdil dihadapan Tuhan

Allah mengajar secara halus
Diajar hambaNya berdoa tulus
Memohon ditunjukkan jalan yang lurus
Menjadi penyebab rasul diutus

Begitu pentingnya ayat kelima
Jalan lurus perkara utama
Jalan dipilih para ulama
Yang beriman juga ambil yang sama

Merekalah umat dinaungi rahmat
Dengan limpahan segala nikmat
Jaminan syurga di alam akhirat
Sebagai ganjaran umat yang taat

Ayat ketujuh penutup surah
Dijelaskan sini jalan yang salah
Minta dijauhkan kemurkaan Allah
Seperti berlaku di zaman sudah

Bani Israil contoh diberi
Mereka kaum membunuh nabi
Mereka juga tak mengenang budi
Setelah diselamatkan ingkar kembali

Dihujung suruh ada tersurat
Mohon dihindarkan perkara sesat
Seperti Nasrani kaum dilaknat
KeEsaan Allah mereka persiat

Kurenung lagi Al-Fatihah
Menjadi tenang hati yang gundah
Khusyuk daku dalam sembahyang
Demikian rahsia terserlah sudah

Niat disebut imbasan hati
Sembahyang pulak pengerak sendi
Tanpa Fatihah sembayang rugi
Pergerakan dijaga bacaan dihayati


Wallah  hualam

No comments:

Post a Comment